Jumaat, 23 Oktober 2009

PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS DALAM PENGAJARAN BIDANG SAINS DAN TEKNOLOGI : IMPLIKASINYA TERHADAP USAHA MENGANTARABANGSAKAN BAHASA MELAYU

Pendahuluan

‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Begitulah bunyinya ungkapan yang sering dilaung-laungkan apabila kita membicarakan isu-isu berkaitan dengan bahasa. Sememangnya kegituan ungkapan itu tidak dapat dinafikan lagi kerana bahasa melambangkan sesuatu bangsa. Sebagai warga Malaysia, kita semestinya berasa bangga dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu juga menjadi wahana dalam penyebaran ilmu sejak negara kita mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan. Rentetan ini dijelaskan oleh Dr. Awang Sariyan (2005) iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudiannya dalam Akta Pendidikan 1996.

Namun demikian, dewasa ini bahasa Melayu telah dipaksa bersaing dengan bahasa yang dikatakan lebih bersifat universal dan maju iaitu bahasa Inggeris. Proses penyebaran ilmu semakin banyak dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Menurut kajian Kamal Shukri Abdullah Sani (2000), peratus mata pelajaran berbahasa Melayu di peringkat menengah atas (tingkatan 4-6), Matrikulasi dan IPT jelas mengalami hakisan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk mata pelajaran berasaskan sains dan teknologi. Menurut kajian tersebut juga, terdapat fakulti yang menggunakan bahasa Inggeris sehingga 91 peratus sebagai bahasa pengantar bagi kursus-kursus yang ditawarkan. Hal ini bermakna hanya 9 peratus kursus yang menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran bidang sains dan teknologi ini dikatakan akan menjejaskan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada global. Adakah kedaulatan bahasa Melayu akan tergugat? Tentunya persoalan itu amat sukar untuk dirungkaikan. Oleh itu, kajian ini akan berfokus kepada implikasi penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran bidang sains dan teknologi terhadap usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu.


Mencabar kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

Antara implikasi yang sangat jelas dapat dilihat apabila bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran bidang sains dan teknologi ialah kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan tercabar. Dengan perkataan lain, keadaan ini akan menyebabkan bahasa Inggeris akan mengambil tempat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Dasar Bahasa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mula berubah dikatakan punca keadaan ini berlaku.
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah tidak dapat tidak telah menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi terjejas dengan pelaksanaan dasar ini. Kesannya kelak semua mata pelajaran sains dan teknologi dari peringkat pendidikan rendah hingga pendidikan tinggi akan diajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Akibatnya, pelaksanan dasar ini akan menjadikan peranan bahasa Melayu selanjutnya dalam bidang sains dan teknologi akan tersekat terus dan terbantut, kecuali dalam bidang yang amat terhad, khususnya bagi pendidikan tinggi (era selepas Sijil Pelajaran Malaysia) sedangkan bahasa Melayu telah banyak meneroka bidang-bidang tersebut dengan lebih 800,000 istilah, 200,000 buah buku pelbagai judul dan sebagainya. Segala usaha tersebut hanya perlu disempurnakan serta dibaiki dari semasa ke semasa. Dalam konteks ini juga kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin mengecil khususya dalam bidang sains dan teknologi.

Perakuan dan saranan agar penggunaan bahasa Inggeris diperluas dalam bidang pendidikan ini juga seakan-akan berlawanan dengan pelaksanaan Dasar Buku Negara yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Buku teks dan buku-buku rujukan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan sudah sepatutnya usaha menambah bilangan penerbitan bahan-bahan tersebut dalam bahasa kebangsaan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Namun demikian, jika dilihat dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebelakangan ini dengan pelaksanaan PPSMI serta dasar penggunaan bahasa Melayu di IPTA dan IPTS, keadaan sebaliknya yang berlaku. Satu pihak berusaha untuk menterjemah karya asing kepada bahasa Melayu, manakala satu pihak lagi beralih kepada buku-buku bahasa Inggeris sebagai rujukan.

Hal ini menampakkan bahawa pembaharuan yang dikemukakan dalam PIPP tidak sejajar dengan situasi yang berlaku terhadap pelaksanan dasar bahasa dalam sistem pendidikan di peringkat Kementerian Pelajaran sendiri dan Kementerian Pengajian Tinggi. Sepatutnya, usaha untuk memperbanyak penerbitan buku-buku bahasa Melayu dan penterjemahan karya asing kepada bahasa Melayu akan lebih giat kerana permintaan yang tinggi apabila bidang sains dan teknologi ini diajarkan dalam bahasa Melayu.

Jika hal- hal sedemikian masih berlaku dan terus berlaku, harapan untuk melihat bahasa Melayu ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan bahasa-bahasa moden yang lain, harapan itu sebenarnya hanya satu angan-angan. Sesungguhnya, sesuatu bangsa perlu memajukan bangsa dan tamadunnya melalui bahasanya sendiri. Sesebuah negara perlu memajukan bangsanya bukannya mengikut acuan bangsa lain, sebaliknya mengikut acuan yang sesuai dengan aspirasi, budaya, nilai, dan falsafahnya. Dalam hubungan itu, negara tersebut perlu menggunakan bahasa kebangsaannya sendiri kerana bahasa bukan sekadar lambang, tetapi cerminan jati diri bangsanya. Akhirnya kemajuan bangsa bergantung kepada acuannya sendiri, dan kemajuan bahasa kebangsaan juga bergantung kepada sejauh mana bahasa itu digunakan dalam wahana ilmu negara berkenaan. Sesungguhnya, tidak ada bangsa dan tamadun di dunia ini yang dimajukan melalui bahasa asing, melainkan bahasa ibunda dan bahasa kebangsaannya sendiri.


Mewujudkan paradigma negatif terhadap bahasa Melayu

Apabila bahasa Inggeris mengambil tempat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, hal ini pastinya menimbulkan pendapat dan pandangan yang negatif terhadap bahasa Melayu. Sering kali kita mendengar orang berkata bahawa orang Melayu perlu mengetahui bahasa kedua, khususnya bahasa Inggeris, kerana kononnya mengetahui bahasa sendiri sahaja tidak cukup untuk memajukan keadaan hidup dan fikiran orang Melayu. Andaian mereka, bahasa asing itu lebih mampu berbanding dengan bahasa Melayu untuk berfungsi sebagai alat kemajuan bangsa Melayu.

Andaian ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya secara teori mahupun praktik. Kita tahu banyak penutur bahasa Inggeris di seluruh dunia, termasuk di negara berbahasa Inggeris seperti Britain dan Amerika, yang tidak maju keadaan hidupnya. Ini bukan salah bahasa Inggeris. Maju atau tidak majunya sesebuah masyarakat bergantung kepada setakat mana mereka menguasai bahasa itu untuk dijadikan alat kemajuan dan sebagai bahasa ilmu.

Begitu juga dengan bahasa Melayu. Kemampuannya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa pemikiran tinggi tidak terhad. Yang terhad ialah daya kognitif pengguna bahasa tersebut. Hal ini bermakna, jikalau orang Melayu berasa tidak mungkin dapat berfikir tinggi atau menuntut ilmu tinggi dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja dan terpaksa menggunakan bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris, hal ini bukan masalah kemampuan linguistik bahasa Melayu, tetapi masalah mereka tidak mampu berfikir tinggi dalam bahasanya sendiri.

Kita mengetahui bahawa bahasa kedua bukan sekadar untuk berbual-bual biasa sesama bangsa sendiri, tetapi lebih bersifat ketamadunan. Kita perlu menguasai bahasa asing untuk mempelajari, mengkaji dan memahami budaya dan tamadun bangsa lain. Kemudian kita menggunakan hasilnya bagi menambah dan memperkaya ilmu dan fikiran kita. Kita boleh mempelajari tamadun bangsa asing melalui terjemahan karya- karya agung bangsa lain dan boleh juga secara langsung, misalnya dengan membaca buku-buku asal yang tertulis dalam bahasa asing itu, atau pergi ke negeri mereka untuk menuntut ilmu dalam bahasa mereka. Inilah tujuan utama kita perlu mempelajari bahasa asing.

Orang Melayu telah melakukan proses ini sejak abad-abad yang awal lagi. Misalnya mereka mempelajari dan mengetahui tamadun dan ilmu Islam dengan menterjemahkan kitab-kitab dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, atau mereka yang mengetahui bahasa Arab mempelajari ilmu dan ajaran Islam itu secara langsung daripada kitab-kitab bahasa Arab. Pada masa itu, ilmu dan ajaran yang baru itu belum ada dalam bahasa Melayu, dan dengan menguasai bahasa Arab mereka menterjemahkan Quran dan hadis dalam bahasa Melayu. Namun demikian, mereka mengembangkan dan menyebarkan segala ajaran dan ilmu Islam itu kepada masyarakat Melayu dalam bahasa Melayu, bukan dalam bahasa Arab. Inilah kemampuan budaya bahasa Melayu.
Selepas kemerdekaan, orang Melayu berpeluang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi semula. Mereka mempelajari sains atau ilmu Barat di universiti di negara ini dalam bahasa Melayu. Tidak timbul masalah bahasa pada ketika itu, kecuali setelah segelintir arang Melayu termasuk beberapa orang pemimpin Melayu menyetujui pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu tidak akan maju dalam ilmu sains (iaitu sains Barat) jika ilmu itu tidak diajarkan dalam bahasa Inggeris.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan yang juga Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kelima, Datuk Dr. Hassan Ahmad menyatakan bahawa, tidak salah kita mengetahui bahasa kedua dan seterusnya. Yang salah adalah apabila kita menyebarkan ilmu yang kita peroleh daripada tamadun luar itu kepada bangsa kita tidak dalam bahasa kita, tetapi dalam bahasa asing itu juga. Inilah punca kemunduran sesuatu bangsa. Mereka tidak berpeluang mengetahui atau mempelajari ilmu bangsa lain dalam bahasa mereka sendiri. Bayangkan kalau Islam diperkenalkan kepada bangsa Melayu melalui bahasa Arab sahaja, tidak melalui bahasa Melayu. Mungkin tidak banyak orang Melayu yang memeluk agama Islam kerana mereka tidak faham apa-apa yang disyarahkan atau ditulis oleh ulama Melayu dalam bahasa Arab. Demikian juga, dapatkah anak-anak Malaysia yang tidak mengetahui bahasa Inggeris dengan fasih mempelajari ilmu sains dan teknologi dalam bahasa tersebut?


Menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar

Setelah lebih 50 tahun kita melancarkan proses perancangan bahasa Melayu di negara ini berdasarkan dasar bahasa yang telah dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/68 dan dalam Akta Pelajaran sejak Ordinan Pelajaran 1957 (yang menggantikan Education Ordinance1952 zaman British memerintah Tanah Melayu) sampai ke Akta Pendidikan (Pelajaran) 1996, kita telah berjaya mencapai banyak hasil dalam usaha kita untuk ‘membangunkan semula’ taraf bahasa Melayu sebagai bahasa persuratan, bahasa ilmu, bahasa kerajaan dan bahasa pengantar.

Sejak Dasar Pelajaran Kebangsaan selepas kemerdekaan itu dilaksanakan, khususnya mulai tahun 1970-an, dianggarkan lebih kurang lima juta pelajar dari semua kaum telah terdidik dalam bahasa kebangsaan. Beratus ribu pelajar berjaya mendapat pendidikan di peringkat tinggi dalam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Beribu orang sarjana, professor, professor madya, dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu dan profesion lahir daripada sistem pelajaran kebangsaan itu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Sebelum tahun 1957, tidak ada seorang pun anak Melayu dan juga anak daripada kaum lain yang menjadi sarjana, profesor dan ahli sains melalui pendidikan dalam bahasa Melayu sejak peringkat sekolah rendah.

Kejayaan itu memusnahkan segala pandangan dan kepercayaan salah dan emosi yang mengatakan bahawa ‘jikalau orang Melayu hendak menjadi bangsa yang maju dalam bidang sains dan teknologi atau dalam apa-apa bidang pun, mereka hendaklah menuntut ilmu itu dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa Melayu’. Perlu diingatkan juga bahawa perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi bukan baharu berlaku selepas kemerdekaan, tetapi sudah bermula sejak abad ke-16 atau lebih-lebih lagi sejak abad ke-17. Malangnya, hari ini kita melihat seolah-olah dasar yang sudah cukup baik itu, iaitu dasar yang menguntungkan semua kaum (tidak ada kaum yang rugi), sedang menghadapi fasa kemerosotan, terutama yang berkaitan dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu atau bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Perubahan dasar bahasa di peringkat IPT telah menyebabkan berlakunya perbezaan yang ketara antara dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Hal ini diperakui oleh Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia (2006) yang menjelaskan jawatankuasa mendapati bahawa walaupun bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar di peringkat sekolah, keadaan di peringkat tinggi adalah berbeza. Selama lebih satu dekad telah wujud dua sistem yang berbeza dengan ketaranya di peringkat pendidikan tinggi iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di IPTA dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPTS. Perkembangan ini berlaku selepas pelaksanaan Akta IPTS 1996, banyak IPTS telah diberi pengecualian daripada menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahasa Inggeris telah dijadikan bahasa pengantar kerana institusi-institusi ini kebanyakannya menawarkan kursus-kursus IPT luar negara.

Namun begitu, dalam laporan yang sama jawatankuasa ini turut memperakukan supaya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa rasmi digunakan dalam semua urusan rasmi dan bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar di IPT dalam semua mata pelajaran sains, matematik dan profesional, manakala mata pelajaran lain hendaklah diajar dalam bahasa yang paling berkesan untuk menyampaikan ilmu yang terkandung di dalam mata pelajaran tersebut. Natijahnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semakin terpinggir dan sudah pasti untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin sukar apabila semakin dipinggirkan di dalam institusi ilmu. Kerisauan terhadap perkembangan ini turut dinyatakan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad (2004) iaitu dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara berhubung dengan bahasa Inggeris jelas, iaitu bahasa ini hendaklah diajarkan sebagai bahasa kedua yang wajib di sekolah kebangsaan. Dasar ini tidak menyatakan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua hendaklah dijadikan bahasa pengantar dalam apa-apa jua mata pelajaran di sekolah.

Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya menuntut agar langkah-langkah yang lebih gigih dilakukan terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Di samping itu, usaha memperkembangkan bahasa Melayu dan meningkatkan keupayaannya menjadi bahasa ilmiah bagi semua bidang ilmu perlu diselaraskan dengan perubahan dasar pendidikan dan pelaksanaannya di peringkat Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi . Hakikatnya, usaha dan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa Melayu yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan merupakan usaha-usaha untuk memperbaiki kekurangan dan memantapkan pelaksanaan perancangan sebelum ini. Walaupun pengiktirafan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu / ilmiah disentuh tetapi pada masa yang sama wujud ketidakseimbangan dari segi pelaksanaan dasar bahasa dalam sistem pendidikan.


Perkembangan istilah bahasa Melayu terbantut

Antara implikasi penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran bidang sains dan teknologi terhadap usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu yang tidak boleh dipandang enteng ialah perkembangan istilah bahasa Melayu akan terbantut. Dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perkataan istilah bermaksud kosa kata khusus, yang digunakan dalam sesuatu bidang ilmu seperti sains, perubatan, ekonomi, geografi dan sebagainya. Contohnya istilah termometer digunakan dalam bidang sains, dan istilah indeks dalam bidang ekonomi.

Bahasa Melayu pada awalnya kekurangan kosa kata untuk meneroka bidang-bidang ilmu tersebut. Bahasa melayu dikatakan tidak mampu untuk menterjemahkan ilmu-ilmu dalam bidang-bidang yang asing atau ilmu-ilmu yang dipelopori oleh Barat. Untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai ilmu moden dan bahasa yang setaraf dengan bahasa-bahasa moden yang lain, bahasa Melayu harus mampu menjadi wahana dalam proses penyebaran ilmu-ilmu dalam bidang-bidang tersebut.

Atas desakan tersebut, bahasa Melayu telah mengalami era baru iaitu kemasukan istilah-istilah baru daripada bahasa asing. Dengan perkataan lain, bahasa Melayu telah meminjam kosa kata daripada bahasa asing khususnya bahasa Inggeris bagi memenuhi tuntutan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Peminjaman kosa kata daripada bahasa asing ini melalui proses-proses tertentu dan bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam bahasa yang lebih mudah, pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan mendorong berlakunya proses peminjaman istilah daripada bahasa-bahasa asing. Hal ini ada kaitannya dengan proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan negara , iaitu bahasa yang digunakan dalam wahana ilmu mestilah bahasa yang mampu menguasai semua bidang ilmu moden. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan daripada pelbagai pihak tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjalankan ‘tugas’ tersebut.

Tindakan kerajaan memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran bidang sains dan teknologi merupakan satu bukti yang nyata bahawa bahawa bahasa Melayu didakwa tidak mampu memainkan peranan sebagai bahasa ilmu moden kerana kekurangan istilah. Langkah kerajaan yang tergesa-gesa ini menimbulkan polemik dalam kalangan ahli-ahli dan sarjana-sarjana bahasa. Ada antara mereka menjelaskan bahawa dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran bidang sains dan teknologi ini akan menyebabkan proses peminjaman istilah daripada bahasa-bahasa asing tidak lagi berlaku. Hal ini seterusnya akan menyebabkan bilangan istilah dalam bahasa Melayu tidak berkembang atau tidak bertambah.

Dari perspektif yang lain, pertukaran bahasa pengantar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan teknologi juga menyebabkan istilah-istilah bahasa Melayu yang telah wujud tidak digunakan secara optimum, iaitu lebih 30 ribu istilah yang telah dibina tidak digunakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu sebenarnya kaya dengan istilah-istilah ilmu moden dan wajar digunakan sebagai wahana ilmu di semua peringkat pendidikan. Jika istilah yang ada ini tidak digunakan, timbul kebimbangan dan mengundang risiko istilah-istilah itu akan lenyap dan mati.


Peranan agensi berkaitan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka semakin mengecil

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan bahasa Melayu di Malaysia. Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:
• untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;
• untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;
• untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;
• untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;
• untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan
• untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Berdasarkan matlamat-matlamat tersebut, sudah pasti bahawa fungsi dan peranan DBP akan tergugat apabila penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran bidang sains dan teknologi dilaksanakan. Penggunaan bahasa Inggeris ini telah memberi satu tamparan yang hebat kepada DBP sebagai badan yang berusaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Sebelum ini DBP menjadi tempat rujukan berkaitan dengan penggunaan istilah, ejaan dan sebagainya, tetapi apabila bahasa Inggeris mengambil tempat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran sains dan teknologi, fungsi itu kian layu.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh DBP dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden dan mampu bersaing di peringkat global. Namun demikian, usaha yang telah dibuat sama ada perancangan, guna tenaga, fikiran, dan segala hasilnya yang berupa istilah, karya bertulis, penterjemahan, dan sebagainya jelas menjadi sia-sia belaka manakala usaha seterusnya akan terbantut atau pupus secara serta-merta kerana tiada keperluan lagi untuk meneruskan pembudayaan sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, kerana bukan sahaja tidak ada insentif atau dorongan lagi, malah tiada keperluan untuk menggunakannya.


Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang dibuat didapati bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran bidang sains dan teknologi memberikan pelbagai implikasi terhadap usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu, antaranya mencabar kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, mewujudkan paradigma negatif terhadap bahasa Melayu, menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, perkembangan istilah bahasa Melayu terbantut, dan peranan agensi berkaitan iaitu DBP semakin mengecil.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa yang penting. Namun, kepentingan terhadap bahasa Inggeris dan keutamaan terhadap bahasa Melayu harus seiring. Terjahan gelombang globalisasi yang mengancam kelangsungan hidup masyarakat dunia tidak perlu dibimbangkan. Perkara yang penting ialah masyarakat dan rakyat di sesebuah negara itu perlu mempunyai kesetiaan, kesedaran, kebanggaan, kecintaan, dan jati diri yang kukuh dan mendalam terhadap bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan mesti dijunjung, sementara bahasa asing pula harus dikelek.

Sesungguhnya, hanya melalui bahasa kebangsaan, sesebuah negara dapat menggambarkan diri sebagai sesuatu bangsa secara utuh. Kalau tidak, bangsa itu bagai bangsa yang tidak mempunyai wajah. Sesuatu bangsa tidak mungkin wujud dalam tabula rasa atau kepakuman. Bangsa tidak seharusnya hanya menjadi komuniti yang diimaginasikan, sebaliknya bangsa yang mampu mengharungi gelombang cabaran masa hadapan ialah bangsa yang jitu dankukuh peribadinya. Kesedaran kolektif bangsa dapat dibentuk melalui bahasa kebangsaan yang digunakan dengan meluas dalam semua bidang.

Salah satu perkara yang perlu diberi penekanan ketika mengharungi arus deras globalisasi ialah persoalan jati diri bangsa melalui bahasa kebangsaan kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jadi, bahasa kebangsaan tidak seharusnya hanya dimaktubkan dalam perlembagaan negara, tetapi perlu dijunjung tinggi sebagai lambang jati diri dan maruah bangsa yang tidak boleh dikompromi. Hakikat bahawa bahasa kebangsaan merupakan tonggak utama pembinaan bangsa dan tunjang perpaduan nasional, serta faktor utama dalam membangunkan peradaban dan tamadun moden tidak seharusnya dipandang ringan. Wajah, jati diri dan kemajuan sesuatu bangsa pada masa hadapan bergantung kepada sikap generasi hari ini terhadap bahasa kebangsaan negaranya.

Iltizam dan harapan yang dibayangkan oleh pemimpin politik arus perdana sebenarnya merupakan pengharapan yang datangnya daripada majoriti rakyat Malaysia. Pastinya, akan berlaku gelombang baharu bahasa kebangsaan di negara ini. Keberanian bertindak secara intelektual pernah dilaksanakan oleh bangsa yang maju sebelum ini seperti Jepun, Korea, Perancis, Rusia dan sebagainya yang meletakkan dan mengangkat bahasa kebangsaan mereka sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa intelektual negara mereka. Bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Jepun, bahasa Korea dan bahasa-bahasa maju yang lain terbina dalam tempoh yang cukup panjang sebaliknya bahasa Melayu telah berjaya dibangunkan sebagai bahasa sains dan teknologi, dan mencapai kemajuan seperti sekarang hanya dalam tempoh kira kira 50 tahun sahaja.