Selasa, 3 November 2009

Kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak tahu menghargai dan menilai karya-karya kreatif yang terhasil daripada perahan minda pengarang

Penulis memulakan bicara dengan premis di bawah;
Memang benar kata-kata seorang penggiat sastera yang prolifik, Mana Sikana yang mengatakan bahawa kebolehan dan kemahiran berbahasa seseorang sehingga berupaya mengolah dan membentuk ayat-ayat yang menarik dan mempersonakan membuktikan bahawa proses seseorang pengkarya dalam memilih perkataan-perkataan yang tepat, indah, sesuai, dan menyegarkan merupakan satu misteri (Arba'ie Sujud, Nik Rafidah Nik Afandi, Asiah Abdul Rahman: 2008).

Beberapa ketika yang lalu, penulis ada berborak dengan rakan penulis, seorang penuntut Bacelor Sastera (kesusasteraan Melayu). Daripada beliau, penulis berasa terpanggil untuk berkongsi pendapat, pandangan, dan fikiran tentang sikap segelintir masyarakat yang tidak tahu menghargai karya hasil ciptaan orang lain. Penulis menganggap hal ini sebagai suatu kecaman yang serius kepada pengkarya-pengkarya di negara ini, tatkala bilangan pengkarya kini semakin hari semakin banyak. Bagaimanakah keadaannya dengan masa hadapan pengkarya-pengkarya muda ini?

Cuba kita renung sejenak, apakah yang akan terjadi kepada bidang penulisan kreatif, jika jiwa masyarakat pada hari ini kian keras atau enggan untuk mengakui bahawa setiap orang mempunyai tahap kebolehan mengarang yang berbeza-beza. Dalam hai ini, penulis merujuk kepada seorang teman yang penulis tidak pasti penulis kenal atau tidak, yang tidak tahu menghargai hasil penulisan ilmiah, yang pada anggapan penulis hanya disebabkan pengarang penulisan ilmiah itu seorang yang hampir dengan dirinya. Tindakannya yang secara terang-terangan tidak mengiktiraf karya ilmiah itu sebagai satu karya kreatif sungguh mendukacitakan penulis.

Apabila kita membaca atau meneliti sesuatu karya, sebaik-baiknya kita menilai karya itu sama ada berkualiti atau tidak. Kita sebagai pembaca mempunyai kuasa mutlak untuk menghakimi karya itu secara tuntas. Kita berhak melontarkan pandangan, fikiran dan idea kita, yang mungkin sehaluan dengan arus idea dalam karya itu, atau sebaliknya. Kita juga boleh mengkaji latar belakang pengarangnya, pendidikannya, zamannya, dan idealisme atau alirannya. Benar, kebebasan ini tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Walau bagaimanapun, komen, pandangan, atau idea itu mestilah tidak menyentuh peribadi pengarang. Contohnya pandangan-pandangan yang menjurus kepada serangan peribadi, atau mempersoalkan bagaimana si pengarang itu menghasilkan karya itu, kerana kita seharusnya berpegang kepada premis pembuka bicara di atas.

Para pembaca sekalian, ingatlah, perkembangan penulisan kreatif di negara ini bergantung kepada penilainya, iaitu kita. Penilai yang bijak ialah penilai yang bukan hanya menjadi hakim, bahkan juga menyumbang idea bernas ke arah satu era penulisan kreatif yang mantap lagi unggul.